LUNDU (Sarawak), 12 Feb – Hilang Tarikan…. Tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang anggota Parlimen DAP Melaka keluar daripada parti itu merupakan satu manifestasi masalah dalaman dan krisis kepercayaan yang sedang dihadapi parti pembangkang itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya dimaklumkan tiga ADUN dan seorang Ahli Parlimen dari Melaka itu telah
keluar parti,” kata timbalan perdana menteri.
Beliau percaya ini kerana kepimpinan DAP yang bersekongkol dengan tokoh yang
pernah menghentam parti itu satu ketika dahulu, kini mendapat tentangan dari
dalaman.
Oleh itu, menurutnya rakyat secara keseluruhannya perlu membuat analisis
sendiri mengenai kebolehpercayaan mereka terhadap wakil-wakil rakyat daripada
DAP susulan perkembangan terbaru itu.
“Kita tahu bahawa persekongkolan ini menerusi “perkahwinan mutaah politik’,
atau ‘perkahwinan sementara politik’… rakyat harus faham mengenainya,” katanya

“Kita harap rakyat dapat menilai sendiri tentang apa yang sedang berlaku di
kalangan mereka (DAP), dan bagaimana prestasi mereka sebagai wakil rakyat yang
hanya pandai berkokok (tapi) tidak dapat berikan perkhidmatan yang berkesan,”
katanya. – WD MY