GOMBAK, 14 Mac – Agenda Asean….. Krisis pelarian Rohingya di Myanmar perlu diangkat sebagai agenda pada mesyuarat ASEAN di Filipina hujung bulan ini kata Tan Sri Syed Hamid Albar.

Bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, berkata krisis kemanusiaan dan penindasan membabitkan pelarian Rohingya bukan lagi masalah dalaman negara itu, sebaliknya menular menjadi masalah dunia.

Walaupun ada campur tangan OIC dalam krisis berkenaan, beliau berkata sudah tiba masanya ASEAN bangkit dalam usaha menyelesaikan konflik membabitkan etnik Rohingya di rantau ini.

“Penyenaraian isu Rohingya sebagai antara agenda ASEAN mampu meningkatkan tekanan kepada Myanmar.

“Saya harap negara anggota ASEAN dapat memasukkan krisis pelarian Rohingya sebagai agenda kerana ia mempunyai kesan tiga dimensi merangkumi politik, keselamatan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap pada Simposium Kemanusiaan 2017 bertajuk ‘Rohingya: Plight & Despair, Hope’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Syed Hamid memuji langkah kerajaan membenarkan 300 etnik Rohingya yang dipilih menerusi Projek Perintis Kebenaran Bekerja bagi pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), bekerja di negara ini mulai 1 Mac lalu.

Katanya, ia membuktikan komitmen tinggi kerajaan membantu pelarian Rohingya dan berharap bilangan itu ditambah dari semasa ke semasa. – WD MY