KEPALA BATAS, 10 Sept – Kritikan Untuk Kebaikan…..Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kritikan terhadap jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang adalah bagi membantu rakan parti.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia antara lain bertujuan memastikan parti komponen BN di negeri ini mampu bangkit semula setanding dengan UMNO, sekali gus menjadi pemangkin untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Katanya, kritikan itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sifat setia kawan dan perkongsian kuasa antara UMNO bersama rakan komponen BN, serta menjelaskan UMNO tidak pernah berniat untuk membolot kuasa.

“Dulu, ketika UMNO hadapi masalah pada 1987, rakan dalam parti komponen BN yang bantu kami untuk bangkit semula.

“Justeru, kini sudah tiba masa bagi UMNO untuk membalas budi dan membantu rakan parti komponen yang berhadapan masalah.

“Hidup kita ini ibarat satu putaran, ada kala di atas dan terkadang kita di bawah. Begitu jugalah yang dialami dalam mana-mana parti. Justeru, rakan komponen BN perlu anggap semua itu sebagai ujian yang akan mematangkan lagi parti keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas, di Institut Latihan Perindustrian, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman. Ahmad Zahid turut mengingatkan semua kepemimpinan tertinggi UMNO dan BN supaya tidak menganggap masing-masing sebagai individu hebat selepas menerima sesuatu jawatan.

Beliau berkata, semua kepemimpinan perlu sedar kejayaan meraih jawatan adalah hasil daripada sokongan dan kepercayaan akar umbi. – WD MY

LEAVE A REPLY