PUTRAJAYA, 14 Mac – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, mulai esok (15 Mac).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini
berkata Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Seri Jamil
Salleh pula akan menggantikan Alias sebagai Ketua Setiausaha (KSU) KPDNKK.

Ali juga mengumumkan Timbalan Ketua Setiausaha (Antarabangsa dan Pengurusan)
KBS Datuk Lokman Hakim Ali, 45, dilantik sebagai Ketua Setiausaha KBS mulai
esok, menjadikannya KSU termuda yang dilantik setakat ini.

“Saya berkeyakinan penuh kelayakan, pengalaman dan pengetahuan serta
kredibiliti yang dimiliki ketiga-tiga pegawai yang dilantik ini mampu membawa
organisasi masing-masing ke tahap kecemerlangan lebih tinggi dalam menjayakan
wawasan dan aspirasi negara,” katanya.

Alias, 57, yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Strategik
dan Pertahanan dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera dari Universiti
Malaya, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam kira-kira 32 tahun dengan
menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1984.

Ali berkata Alias berpengalaman luas dalam bidang pengurusan keselamatan,
ekonomi, pembangunan serta pengurusan sumber manusia di peringkat kerajaan
negeri dan persekutuan.

Alias memegang jawatan KSU KPDNKK mulai 5 Feb 2014.

Jawatan lain yang pernah disandang Alias sebelum ini adalah Ketua Pengarah
Imigresen, Setiausaha Bahagian, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam,
Kementerian Dalam Negeri; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hal Ehwal Imigresen,
Kementerian Dalam Negeri; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pekerja
Asing, Kementerian Dalam Negeri.

Ali berkata Jamil, 57, yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama
kira-kira 32 tahun, berpengalaman luas dalam bidang keselamatan, pengurusan awam
dan pengurusan pembangunan sosial.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam bidang Sosiologi dan
Antropologi dari Universiti Malaya itu mula menyertai perkhidmatan sebagai
Pegawai Belia dan Sukan pada 1983 sebelum dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan
Diplomatik pada 1984.

Beliau dilantik sebagai KSU KBS mulai 12 Jun 2013.

Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan KSU (Antarabangsa dan
Pengurusan) KBS, Pengarah, Bahagian Pembangunan dan Perolehan Jabatan Penjara,
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Pengarah Pembangunan dan Logistik
Jabatan Penjara, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Ali berkata Lokman Hakim berpengalaman luas dalam bidang ekonomi dan
perdagangan, pengurusan awam dan pengurusan pembangunan sosial menerusi karier
perkhidmatannya.

Lulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Claremont Graduate
University, California, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang
ekonomi dari University of Southern California, Amerika Syarikat itu telah
berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama kira-kira 22 tahun dengan mula
menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1994.

Lokman Hakim dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Antarabangsa dan
Pengurusan) KBS mulai 3 April 2015.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas
kepada Timbalan Perdana Menteri; Naib Presiden, Perhubungan Kerajaan, Malaysian
Biotechnology Corporation Sdn Bhd; Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Penolong Pengarah Bahagian Hal Ehwal
APEC Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – Sofea Nawar ( WD MY)

LEAVE A REPLY