KUALA LUMPUR, 22 Nov – BEBAS…..Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, kekal dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan dengan sengaja gagal mengisytiharkan perolehan harta, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, hari ini mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2017 yang melepas dan membebaskan Chin Wah yang kini berkhidmat di bahagian urusetia JSJ Bukit Aman.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya dan Budiman Lutfi manakala Chin Wah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Pada 26 Mei lalu, Hakim Sohaini Alias, melepas dan membebaskan Chin Wah, 59, yang didakwa dengan sengaja gagal mematuhi terma Notis Pendakwa Raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Disember 2013, yang beliau telah gagal untuk mengisytiharkan segala punca perolehan dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Januari 2014.

Chin Wah dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 49 (3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – WD MY