KUALA LUMPUR, 5 OGOS – ASEAN mengadakan pertemuan dengan 10 rakan
dialog termasuk kuasa dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia dan Jepun di
ibu negara, hari ini.

Selain negara berkenaan, mesyuarat yang dikenali sebagai Pasca Persidangan
Menteri-Menteri Luar ASEAN itu turut melibatkan mesyuarat berasingan dengan enam
lagi rakan dialog iaitu, Australia, Kanada, India, Korea Selatan, Kesatuan
Eropah dan New Zealand.

Delegasi Amerika Syarikat diketuai oleh Setiausaha Negara John Kerry.

Malaysia, atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN 2015, menjadi tuan rumah
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 semalam, diikuti dengan Pasca
Persidangan Menteri-Menteri Luar dan Mesyuarat Berkaitan hari ini serta esok.

Mesyuarat peringkat menteri ASEAN-Jepun dan ASEAN-Kanada, bermula hari ini
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Di luar mesyuarat berkenaan, turut berlangsung ialah Mesyuarat
Menteri-Menteri Luar Mekong-Jepun ke-8, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar
Mekong-Korea Selatan ke-5 dan Mesyuarat Peringkat Menteri Dialog Pasifik Barat
Daya ke-13.

Mesyuarat Peringkat Menteri Inisiatif Hulu Mekong ke-8 berlangsung sebelah
pagi tadi. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY