SHAH ALAM,26 Jan – Utamakan…… Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin MIC, termasuk di peringkat akar umbi supaya berkhidmat untuk masyarakat dan tidak mementingkan kedudukan dalam parti semata-mata.

Najib berkata, sesebuah parti tidak mempunyai kuasa, sebaliknya ia datang daripada rakyat.

“Kita tidak boleh mempertahan kedudukan dalam parti kerana parti tidak ada kuasa. Kuasa parti waktu pemilihan parti tetapi kuasa mutlak ketika pilihan raya umum.

“Kita mesti merendahkan diri kita dan tahu bila mahu mendekatkan diri dengan rakyat.

“Bila kita membantu mereka terutama ketika mereka berada dalam kesusahan, rakyat akan mengenang jasa,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Ponggal MIC peringkat kebangsaan, di sini, malam tadi.

Najib yang juga Pengerusi BN, berkata masyarakat India di negara ini perlu memahami bahawa kerajaan BN bukan sebuah kerajaan retorik, yang hanya menjanjikan sesuatu kepada rakyat tanpa melaksanakannya.

“Kita (BN) tidak bermain politik ucapan atau retorik sahaja, sebaliknya kita laksanakan sesuatu. Kita boleh buat perubahan kepada kaum India.

“Kita tidak hanya sekadar membuat janji tetapi kita laksanakannya. Berbeza dengan pembangkang, mereka hanya bermain politik….dulu cakap lain, hari ini cakap lain,” katanya.

Najib berkata, sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau sudah melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan masyarakat India tidak terus ketinggalan.

Malah, katanya, sebaik memegang teraju pentadbiran, beliau tampil menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India.

“Saya bukan saja meluluskan peruntukan besar untuk mendirikan sekolah Tamil, saya juga mengarahkan tabung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diberikan kepada masyarakat India.

“Saya juga menetapkan 1,500 tempat untuk pelajar India mengikuti program matrikulasi. Bilangan mereka yang mengikuti pengajian di politeknik juga meningkat.

“Selain itu, seramai 350,000 masyarakat India mendapat bantuan keusahawanan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, satu jentera penggerak ditubuhkan bagi memastikan pelan pembangunan masyarakat India yang akan dilancarkan nanti berjaya mencapai matlamat. -WD MY