POKOK SENA, 29 Jun – Kumpulan kedua 30 jenazah mangsa
pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya yang ditemui di Bukit Wang
Burma, Wang Kelian bulan lepas dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung
Tualang, awal pagi tadi.

Jenazah terdiri daripada 28 lelaki dan dua wanita dikebumikan di tanah
perkuburan itu mulai 3.50 pagi sehingga 5.30 pagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Datuk Noh Dahya berkata, kesemua
jenazah lelaki itu dikebumikan dalam satu liang lahat manakala jenazah wanita
dalam liang lahat berasingan.

Katanya, baki 55 jenazah mangsa pemerdagangan Wang Kelian yang masih
menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dijangka
dikebumikan sebelum Aidilfitri.

“Insya Allah minggu depan kita mampu kebumi 40 jenazah manakala baki 15
jenazah yang terakhir, maksudnya ada dua kali pengebumian lagi,” kata Noh
kepada media hari ini.

Kumpulan pertama 21 jenazah mangsa pemerdagangan itu telah dikebumikan di
tanah perkuburan yang sama pada 22 Jun lepas.

Pengebumian yang diuruskan oleh JAIK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)
turut dibantu oleh penduduk tempatan, anggota polis dan persatuan kebajikan
Rohingya Kedah. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY