LABUAN, 3 Jun  – Diskaun….Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata hampir 26,000 Kad Ceria iaitu kad diskaun pembelian barangan diedarkan kepada penduduk Labuan berpendapatan rendah dan sederhana dalam usaha kerajaan mengurangkan beban perbelanjaan harian pengguna di Wilayah Persekutuan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata jumlah kad diskaun tersebut adalah sebahagian daripada satu juta kad yang akan disediakan secara percuma untuk pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kad Ceria adalah sama dengan kad kesetiaan yang dilancarkan sebelum ini dan inisiatif ini bertujuan menangani kos sara hidup warga Wilayah Persekutuan,” katanya kepada media selepas pelancaran kad tersebut di pasar raya gedung Bataras di sini hari ini.

Beliau berkata  sejumlah 1,124 rakan dagang melibatkan 1,352 cawangan di semua kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan memberi kerjasama kepada kementerian dengan menawarkan diskaun secara langsung kepada pemenang Kad Ceria.

“Kami menyasarkan peningkatan mendadak rakan dagang menyertai program ini di Kuala Lumour, Putrajaya dan Labuan menjelang akhir bulan depan,” katanya.

Tengku Adnan berkata di Labuan, sejumlah 45 premis perniagaan termasuk hotel, pasar raya gedung, butik, kedai tekstil, restoran, kedai menjual telefon bimbit dan kedai jahit menyertai program ini.

Antara pasar raya gedung di sini ialah Bataras Hypermarket, D’ One Mart Labuan Sdn Bhd dan Hap Huat Superstore, manakala hotel ialah Dorsett Grand Hotel, Billion Waterfront Hotel, Aifa Hotel dan Tiara Hotel.

Katanya, program Kad Ceria akan diperluaskan kepada bidang perniagaan lain seperti pasar basah, pasar malam, trak makanan serta aktiviti perniagaan persendirian.

Di samping itu, katanya , aplikasi  ‘1Wilayah Fair Price’ (Kedai Harga Patut) yang diperkenalkan di Kuala Lumpur akan diperluaskan di Labuan.

Program aplikasi itu adalah bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kedai yang menawarkan harga rendah, katanya. – WD MY