SHAH ALAM, 8 MEI – TAWAR…. Agensi Kurma Travel&Tours Sdn Bhd, peneraju penyedia pakej muslim menjalin kerjasama dengan Koperasi Muslimin Malaysia Bhd bagi memudahkan kakitangan kerajaan atau ahlinya mendapatkan pinjaman sehingga RM70,000 untuk menunaikan umrah atau haji.

Pengerusinya, Dr Fathir Badri Al Haddad, berkata perkhidmatan pinjaman berkenaan memberi peluang kepada kakitangan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan mengerjakan umrah atau haji terlebih dahulu tanpa perlu membayar kos penuh.

Bekiau berkata, skim yang jatuh di bawah hukum ‘harus’ itu mampu mengurangkan beban umat Islam yang mahu menunaikan ibadah berkenaan.

“Kebanyakan agensi tawarkan pakej umrah atau haji tetapi perlu melunaskan bayaran penuh terlebih dahulu. Ini membuatkan ramai umat Islam yang berkeinginan untuk ke Tanah Suci tetapi tidak mampu untuk mengerjakannya.

“Di Kurma Travel&Tour, menerusi skim ini, bakal jemaah dapat mengerjakan umrah terlebih dahulu dan bayar kemudian,” katanya ketika ditemui sempena majlis Ulang Tahun Ke-5 Kurma Travel&Tours di Shah Alam, baru-baru ini.

Selain pakej umrah, Kurma Travel&Tour yang ditubuhkan pada 21 April 2014 turut menyediakan pakej muslim ke pelbagai negara termasuk, Korea, Turki, Eropah, Balkan dan Mesir.

Sempena Ulang Tahun ke-5 agensi itu, Dr Fathir Badri berkata, pihaknya turut menawarkan Pakej Haji Furada Ajwa Gold yang bermula dari RM49,980.

“Apa yang menariknya, pakej haji Furada ini menggunakan visa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi menerusi kedutaan mereka di sini,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran terbaharunya itu, beliau berkata, Kurma Travel&Tour turut menyediakan aktiviti ‘Desert Safari’ di Makkah, yang mana jemaah berpeluang menikmati suasana padang pasir sambil mendengar sirah Rasulullah dan bermunajat.

Bagi menjamin kualiti dan keselesaan jemaah, beliau berkata, setiap pakej yang ditawarkan terhad kepada 40 jemaah untuk setiap kunjungan.

“Sejak beroperasi lima tahun ini, pelanggan saya terdiri daripada semua lapisan masyarakat daripada pelbagai negeri seluruh Malaysia,” katanya.

Ketika ini, agensi berkenaan memiliki enam kakitangan termasuk pemandu pelancong.

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, Dr Fathir Badri berkata, pihaknya optimis perolehan syarikat akan berkembang dua digit menjelang 2020 susulan pengenalan skim pembiayaan umrah berkenaan.

Di samping mengukuhkan operasi perniagaannya, Kurma Travel&Tour turut menjalin kerjasama dengan Persatuan Kebajikan&Rehabilitasi Ramah (PAKAR), Selangor bertujuan menyalurkan sebahagian hasil syarikat kepada badan kebajikan ini.

PAKAR adalah pusat jagaan harian khusus bagi anak keperluan khas (OKU) berumur antara 0-14 tahun. – WD MY