KUALA LUMPUR, 10 Dis – Wajib….. Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewajibkan semua pengawal peribadi menjalani latihan khas dan ditauliahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai tahun depan.

Langkah bagi meningkatkan kawal selia dan kualiti perkhidmatan itu, difahamkan akan membabitkan latihan senjata, ujian mental dan perubatan selain memastikan mereka benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata latihan itu juga akan dijadikan syarat wajib bagi pembaharuan lesen bawa dan guna senjata api pengawal peribadi setiap tahun.

“Langkah ini perlu dalam memastikan syarikat kawalan keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal peribadi. Latihan ini juga akan menjadikan mereka lebih terlatih serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Latihan Certified Security Guards (CSG) Siri 38/2016 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Seri Mustafa Ibrahim dan Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali.

Alwi berkata, melalui latihan CSG, kerajaan dapat memastikan semua pengawal keselamatan menjalani tapisan keselamatan dan bebas rekod jenayah kerana mereka yang lulus tapisan sahaja dibenar mengikut latihan itu.

Program latihan sejak 2014 itu dilaksanakan KDN di bawah inisiatif Strategi Lautan Biro Kebangsaan (NBOS) dan sehingga kini seramai 46,089 pengawal keselamatan tempatan dilatih dan ditauliah oleh PDRM. – WD MY