KUALA LUMPUR, 20 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.40 peratus untuk 2015 dan pembayaran dividen sebanyak RM38.24 bilion.

Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi tahun itu yang juga peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2014. Peningkatan ini selaras dengan pertumbuhan aset pelaburan KWSP kepada RM684.53 bilion setakat 31 Disember 2015.

KWSP mencatat pendapatan kasar sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, peningkatan sebanyak 13.18 peratus berbanding RM39.08 bilion pada 2014.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman, dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas asset dalam beberapa negara dan pasaran.

Katanya, walaupun korelasi antara pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenalpasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran yang menarik.

Langkah kepelbagaian dalam pasaran global dan mata wang membolehkan KWSP untuk mengaut pulangan signifikan dari sumber bukan Ringgit yang merangkumi 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sepanjang tahun itu.

“Sebagai dana simpanan persaraan, pelaburan kami sentiasa tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan pulangan pendapatan jangka panjang yang mampan berbanding pulangan jangka pendek. Kami berbesar hati untuk mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus yang menunjukkan prestasi yang membanggakan walaupun berhadapan dengan cabaran semasa.

“Adalah penting keupayaan kami untuk mencapai sasaran pelaburan strategik sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal selaras dengan peruntukan Akta KWSP 1991 dan sekurang-kurangnya dua (2) peratus pulangan melebihi inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut,” katanya.

Samsudin berkata, bagi 2015, dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut adalah 4.05 peratus, iaitu 205 mata asas lebih tinggi dari yang disasarkan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY