Lagenda Jins Shamsudin Meninggal Dunia

0
165

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kehilangan….. Industri hiburan negara kehilangan seorang lagi permata seni tanah air, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang meninggal dunia petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan.

Seniman legenda itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun di sebuah klinik di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

 

“Seniman juga menganggap kehilangan ini adalah kehilangan yang sangat besar oleh seluruh industri seni negara,” menurut kenyataan itu.

Dilaporkan anak kedua Jins, Putera Hang Jebat, mengesahkan bapanya meninggal dunia setibanya di klinik itu, kira-kira jam 5.45 petang.

“Ayah minum petang dan ketika hendak makan cekodok, ayah tercekik.

“Melihat keadaan ayah, Mak segera membawa ayah ke klinik berdekatan.

“Bagaimanapun, ayah disahkan meninggal dunia setibanya di klinik,” katanya.

Hang Jebat berkata, dia dan adiknya, Hang Nadim masih terkejut dengan pemergian Allahyarham.

Jins Shamsuddin, yang lahir pada 5 November 1935 di Taiping Perak, mula bergiat aktif dalam lapangan seni sebagai seorang pelakon dan pengarah filem.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham membintangi lebih 40 filem antaranya Sarjan Hassan, Gerak Kilat, Si Tanggang, Bukan Salah Ibu Mengandung dan Sumpah Wanita.

Antara filem arahan Allahyarham yang diingati sehingga hari ini adalah Bukit Kepong, Ali Setan, Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada dan Balada.

Pada awal kariernya, beliau mendapat bimbingan seniman agung negara, Tan Sri P Ramlee dan menjadi terkenal pada tahun 1950-an hingga 1970-an.

Jins tinggal bersama isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah di Hulu Klang dan keadaan kesihatannya merudum selepas disahkan menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011. – WD MY