KLUANG, 5 Feb – TAHAN……. Enam remaja lelaki berusia 13 tahun hingga 17 tahun ditahan di di Jalan Taman Intan dan Jalan Taman Titiwangsa kerana menunggang basikal yang diubah suai secara berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Muhamad Laham berkata, serbuan selama dua jam bermula 5 petang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selepas menerima aduan daripada orang ramai.

“Kami menahan enam remaja itu dan memanggil ibu bapa mereka untuk sesi penerangan dan kaunseling sebelum dibebaskan. Tiada denda dikenakan kerana mereka tidak berlumba ketika kejadian.

“Bagaimanapun, semua basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempunyai kelengkapan asas seperti brek dan loceng serta membahayakan penggunanya.

“Kami akan meneruskan pemantauan serta serbuan. Pada masa sama, kami berharap orang ramai akan terus menyalurkan maklumat untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini..

Beliau berkata, ibu bapa perlu peka dengan basikal anak masing-masing dan jangan memberikan galakan untuk memiliki basikal lajak kerana ia menyalahi undang-undang serta membahayakan nyawa. – WD MY