KUALA LUMPUR,OKTOBER 21: BERGADUH…Pemilihan PKR di cabang sekitar Selangor hari ini sekali lagi disajikan dengan adegan kekecohan.

Kekecohan berlaku di dua daripada enam cabang PKR Selangor pada fasa kedua proses pemilihan yang berlangsung hari ini.

Beberapa rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pertelingkahan yang dipercayai berlaku antara penyokong kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Ia membabitkan pemilihan PKR di Cabang Puchong dan Gombak.

Beberapa pegawai polis juga dilihat terpaksa campur tangan di kawasan kejadian bagi mengawal situasi.

Di Gombak, sumber di lokasi mendakwa, kekecohan tercetus selepas seorang remaja berusia 20-an berang apabila bapanya ditolak oleh beberapa individu.

Menurut sumber, kira-kira jam 12.30 tengah hari kekecohan bermula apabila calon ketua cabang dihalang masuk dan rentetan daripada insiden itu menyebabkan berlaku tolak menolak.

“Bapa remaja itu kena tolak, dia pun naik angin. Selepas itu, datang penyokong tidak pasti siapa mula menumbuk… sampai teruk.

“Selepas itu, polis masuk campur. Remaja ini terus kena angkat (tangkap) dengan polis. Saya nampak dia kena angkat (bawa) ke belakang,” dakwa sumber.

Sumber polis memberitahu tiada tangkapan dibuat pada pemilihan PKR Cabang Gombak.-MY WD