BANDAR BAHARU, 13 Dis – Cedera…… Enam orang termasuk seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 168.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata nahas jam 8.40 malam itu membabitkan kenderaan Honda Accord, Proton Saga dan pacuan empat roda Ford Ranger.

Katanya, pihaknya dengan kekuatan 16 anggota termasuk seorang pegawai tiba di lokasi kejadian kurang 30 minit selepas menerima panggilan jam 8.45 malam.

“Dua mangsa lelaki yang menaiki Honda Accord, empat lagi mangsa yang dipercayai satu keluarga menaiki kereta Proton Saga mengalami kecederaan ringan manakala dua orang yang menaiki Ford Ranger tidak mengalami kecederaan.

“Semua mangsa yang berusia antara 13 hingga 57 tahun dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut dan kerja pembersihan kesan kemalangan juga dilakukan,” katanya di sini, hari ini. – WD MY