KUALA LUMPUR, 21 Nov – DEDAH…. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan seramai 35 individu kerugian RM1.6 juta apabila ditipu agensi pelancongan beralamat di Shah Alam, Selangor, melalui Pakej Haji Orang Kenamaan (VIP).

Semua 35 mangsa termasuk seorang yang kerugian melebihi RM200,000 sepatutnya berlepas ke tanah suci pada Ogos lalu, sebaliknya terkandas kerana masalah visa dan isu penerbangan.

Nadzim mereka dijanjikan oleh syarikat terbabit akan mendapat visa khas haji (FURADA) secara terus daripada Arab Saudi, namun terkandas di lapangan terbang kerana tiada visa.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengawal selia pakej haji pihak swasta yang kononnya menggunakan visa khas FURADA.

Kerajaan perlu menghentikan pakej haji melalui visa yang tidak dikawal Tabung Haji (TH) itu bagi mengelakkan penipuan.

“Kena ada penyelarasan. Siapa sahaja yang nak pergi haji, apa jenis visa sekali pun, kena selaras. Perlu juga ada suruhanjaya kawal selia haji (menggunakan visa khas FURADA),” kata Nadzim.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas 35 mangsa penipuan Pakej Haji VIP hari ini.

Wakil PPIM dalam Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU), Dr Mazlina Abu Bakar pula berkata, siasatan awal mendapati agensi terbabit tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji dan lesen umrah.

Bagaimanapun, katanya, pelaksananan pakej haji melalui visa khas FURADA oleh syarikat swasta itu, tidak dikawal selia dan tidak memerlukan lesen berkenaan.

“Ia tidak tertakluk kepada sistem Tabung Haji,” katanya menegaskan pelaksanaan pakej haji melalui visa khas FURADA itu perlu dikawal selia oleh TH atau dikawal selia oleh MKSU seperti umrah.

 

Setiap mangsa kerugian sekurang-kurangnya RM50,000 bagi bayaran deposit. Sehingga kini, tiada wang mereka belum dipulangkan dan mangsa membuat laporan polis. – WD MY