SEREMBAN, 5 Jan – ROMPAK…… Lapan perompak, seorang bersenjatakan senapang patah, melarikan sejumlah barang kemas dari sebuah kedai di sebuah pusat beli-belah di Kemayan Square, kira-kira jam 8.30 malam ini.

Difahamkan, kumpulan suspek yang memakai topi keledar penutup muka menyerbu premis berkenaan sambil mengacukan senjata api kepada pekerja serta pengawal keselamatan kedai.

Saksi yang enggan dikenali mendakwa, perompak kemudian memecahkan rak pameran kaca menggunakan tukul dan melarikan kira-kira enam dulang barang kemas.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan di kedai berkenaan yang terletak di tingkat bawah dan berhampiran pintu masuk kompleks beli-belah.

“Suspek mengambil masa kira-kira tiga minit sebelum melarikan diri,” katanya malam tadi.

Seorang daripada suspek meninggalkan selaras senapang patah tidak jauh dari kedai terbabit sebelum mereka melarikan diri menaiki motosikal. – WD MY