KUALA LUMPUR, 15 FEB – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil dua anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang bagi membantu siasatan lanjut berhubung projek terowong dasar laut di negeri itu.

Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat.

“SPRM berharap semua pihak memberi ruang untuk kami menjalankan siasatan terperinci berhubung projek tersebut. Semalam, seorang anggota Exco dan hari ini pula seorang lagi anggota Exco telah dipanggil.

“SPRM bertindak profesional. Kita panggil saksi-saksi itu untuk membantu siasatan, kena faham ni, ada asasnya, kita minta mereka datang bantu siasatan, jadi tak perlulah saya nak jawab kenapa saksi tertentu dipanggil. Kalau saya jawab, susah pula. Buat masa sekarang, dua anggota Exco itu dipanggil untuk membantu siasatan,”katanya.

Anggota Exco Kerja Raya Pulau Pinang, Lim Hock Seng dipanggil SPRM manakala baru-baru iniĀ Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi negeri pula dipanggil SPRM untuk membantu siasatan projek yang dianggarkan bernilai RM3.6 bilion itu.

Ketika ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dikatakan cuba mengganggu gugat atau mempersoal kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tugas menyiasat dan mencegah rasuah.

Presiden MCW Jais Abdul Karim merujuk kepada kenyataan Guan Eng dari DAP, yang menuduh SPRM sengaja ‘memerangkap’ mereka berikutan dua orang anggota Exco Kerajaan Negeri dipanggil untuk siasatan kes berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

“MCW mewakili suara rakyat Malaysia mendesak agar parti ini akur dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membolehkan kes yang disyaki rasuah itu dapat disiasat mengikut prosedur tanpa gangguan.

MCW menyokong tindakan tegas SPRM untuk menyelesaikan siasatan kes ini dengan segera. Semua pihak yang dipanggil untuk siasatan mestilah akur dan memberikan kerjasama dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya sebagaiĀ  pemimpin parti politik yang berpegang kepada dasar Cekap, Amanah dan Telus, mereka (DAP) sewajarnya memberi sokongan penuh kepada SPRM dimana ianya yang akan dapat membersihkan imej mereka jika mereka (DAP) terbukti tidak bersalah. – WD MY