KUALA LUMPUR, 8 Mac – Lakar Semula…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejarah perlu dilakar semula menggunakan fakta sebenar dan bukan sekadar mengikut perspektif penulis yang mahu menjadikan tokoh tertentu sebagai wira.

Ahmad Zahid berkata, keadaan seperti sesebuah negeri atau republik yang mengetepikan ketokohan pembuka asal dan memberi lakaran sejarah kepada tokoh lain.

Walaupun tokoh itu disebut oleh sejarawan, katanya, fakta sebenar dikaburi dengan acuan dan matlamat penulis sehingga mengelirukan orang ramai.

“Saya bukan rasis tapi sejarah perlu dilakar semula menggunakan fakta dan elemen sebenar yang menunjukkan sesuatu peristiwa benar-benar berlaku.

“Dalam proses penggalian ini, generasi Y dan Z harus dihidangkan dengan fakta sejarah berdasarkan kepelbagaian metodologi supaya tidak melihat sejarah sebagai nostalgia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2015 dan Pelancaran Novel Sejarah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di sini, hari ini.

Lapan novel sejarah terbitan DBP dilancarkan iaitu Mengukir Larut karya Amer Hamzah L Kadir, Puteri Negeri Rindu karya Rahimah Muda, Awang-Kembara Mengelilingi Dunia karya Kamaludin Abduk Settar, Raja Asal Permata Di Bumi Kuala Lumpur karya Kamarulzaman Jaafar, Setanggi Zaman karya Wan Noor Wan Cik, Sumpah Bukit Sadok karya Idris Boi, Malaysia Milik Kita karya Nor Azila Ishak dan Jene karya Kasajiza A S (Zainal Abas).

Bagi membolehkan rakyat mengenali sejarah kehidupan lampau lebih jauh, Ahmad Zahid berkata, penggalian fakta sejarah harus dilakukan oleh DBP dan PSM.

Katanya, kolaborasi pelbagai pihak perlu dilakukan bagi membolehkan lakaran sejarah sebenar dapat digali lebih dalam supaya mereka boleh melihat pelbagai perspektif sebelum membukukan sejarah ke peringkat antarabangsa.

“Kita mahu Transformasi Nasional 2050 (TN50) mempunyai novel sejarah daripada bahan DBP di peringkat antarabangsa bagi meletakkan Malaysia di mata dunia.

“Kita kena letak piawaian berdasarkan nilai intelektual dan ikut penanda aras di semua peringkat. Kita harus bergerak ke arena baharu dan ketepikan keangkuhan supaya berada di dunia yang luas,” katanya. – WD MY