NEW YORK, 3 Nov – LALUAN……. Lorong berbasikal Manhattan yang menjadi tempat serangan oleh seorang pendatang Uzbekistan, Sayfullo Saipov kembali dibuka kepada orang ramai, Khamis.

Beberapa kalungan bunga kelihatan turut diletakkan di situ sebagai memperingati 20 mangsa, 8 daripadanya maut dan 12 lagi cedera dalam serangan yang didakwa mengambil inspirasi dari militan Daesh.

Kata-kata semangat “Kami kuat. Kami NYC” pula kelihatan ditulis di atas laluan itu. Sehelai jersi bolasepak Argentina digantung, sebagai mengenang lima sahabat dari negara berkenaan yang terkorban semasa sedang berbasikal dalam acara pertemuan semula sekolah mereka.

Jika bukan kerana peringatan berkenaan, tiada tanda menunjukkan kawasan kesayangan ramai selama hampir 20 tahun itu ialah lokasi kepada satu serangan maut.

Sejak beberapa tahun lalu, banyak aduan sebenarnya diterima daripada orang ramai berikutan kawasan berbasikal itu tidak terlindung sepenuhnya daripada kenderaan.

Ini memberi peluang kepada Saipov merempuh kawasan berkenaan pada kelajuan yang tinggi.

Seorang pengunjung, Deborah Salant mengecam keadaan itu yang disifatkan amat berbahaya untuk pengguna.

“Saya sangat marah. Tiada sebarang kenderaan yang harus dibiarkan memasuki kawasan ini,” katanya. – WD MY