KUNMING (Wilayah Yunnan, China), 14 Jan – Pembangunan……. Kerajaan China sependapat dengan Malaysia supaya dibangunkan kesalinghubungan darat khususnya laluan perkhidmatan tren di antara negara-negara rantau ini kata
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ahmad Zahid usaha Membangunkan kesalinghubungan itu bukan sahaja memerlukan kerjasama di antara
China dan Malaysia malah, turut membabitkan beberapa negara yang menjadi laluan perkhidmatan itu.
Beliau berkata soal kesalinghubungan itu adalah antara agenda yang
dibincangkan dalam beberapa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dengan Presiden China Xi Jinping sebelum ini.
“Kita lihat laluan tren dari Singapura ke Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke
Bangkok dan seterusnya menghala utara merentasi beberapa negara sehingga ke
Kunming di wilayah Yunnan ini.
“Dari Kunming ke Beijing sudah ada Keretapi Berkelajuan Tinggi, maka soal
kesalinghubungan ini akan melibatkan kerjasama bukan sahaja dengan Malaysia
tetapi dengan beberapa negara yang menjadi laluannya,” katanya dalam sidang
media di sini, pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata dalam pertemuannya dengan beberapa pemimpin di sini,
mereka menyambut baik usaha mewujudkan laluan itu dan secara dasarnya bersetuju
untuk mengambil pelbagai inisiatif bagi merealisasikannya.

“Bukan sahaja mereka sanggup bantu dari segi melancarkan pembinaan, malah
sanggup untuk memberi pinjaman mudah kepada yang berminat membantu menjayakan hasrat mewujudkan kesalinghubungan ini,” katanya.
Merujuk kepada perdagangan dua hala, Ahmad Zahid berkata imbangan
perdagangan di antara Malaysia dan Wilayah Yunnan sehingga November lepas adalah
kira-kira US$343 juta dengan eksport utama negara adalah barangan berasaskan
kelapa sawit manakala Malaysia banyak mengimport hasil pertanian dari wilayah
Yunnan.
Beliau berkata memandangkan Malaysia dan China masih belum menandatangani
perjanjian FTA, Wilayah Yunnan menghadapi sedikit masalah teknikal dalam
mengeksport beberapa barangannya ke Malaysia.
“Namun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan
mengambil beberapa langkah proaktif bagi menanganinya,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata produk halal termasuk makanan, kosmetik dan
farmaseutikal terutamanya bahan-bahan yang datang dari Malaysia juga mempunyai
potensi besar di Wilayah Yunnan.

Usahawan wilayah ini dilihat amat mengharapkan satu bentuk pengiktirafan
halal untuk produk-produk mereka, katanya sambil memberitahu bahawa langkah itu
wajar diterokai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Development
Corporation (HDC).
Sebagai pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Industri Halal negara,
katanya beliau bersetuju untuk meningkatkan rombongan-rombongan dagangan Malaysia ke Wilayah Yunnan bagi menjalin kerjasama dengan pemain-pemain industri halal di sini.
Ahmad Zahid berkata beliau juga mendapatkan persetujuan Jakim dan HDC untuk ‘mengantarabangsakan’ sijil-sijil pengesahan halal mereka supaya
ia dapat diterima dan diiktiraf negara luar termasuk di Wilayah Yunnan yang
menawarkan potensi besar.
Selain itu, beliau akan berbincang dengan Jakim dan HDC mengenai kemungkinan
mewujudkan makmal cawangan di luar negara termasuk di Yunnan bagi membantu
proses pengesahan halal bahan-bahan dalam produk mereka.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata pertemuan dengan
para pemimpin China kali ini mencapai persetujuan supaya pertukaran banduan
antara kedua-dua negara dapat dilaksanakan. – WD MY