KUALA LUMPUR, NOVEMBER 25: Di sebalik gegak gempita dan kemeriahan sambutan kemenangan Harimau Malaya dalam perlawanan menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, ada lagi sambutan yang lebih membahagiakan.

Ketika perlawanan berehat di separuh masa, seorang lelaki melamar teman wanitanya dan lebih istimewa, lamaran itu turut dipancarkan melalui skrin gergasi di stadium.

Imej skrin yang tertulis ‘Jom kahwin saya Shinna’ itu rancak dikongsi pengguna media sosial, sekali gus menimbulkan pertanyaan siapakah gadis bertuah itu.

Pengguna laman sosial juga berkongsi video saat lelaki berkenaan melutut dan melamar gadis bertuah itu, malah video yang sama juga dikongsi oleh laman Facebook rasmi AFF Suzuki Cup.

Menerusi video itu, dapat dilihat pasangan itu dikelilingi keluarga dan si jejaka turut membawa bunting yang tertulis ‘Let’s Get Married Lah’.

Disaksikan ratusan penonton, gadis itu dilihat menyeka air mata kegembiraan dan memberikan jawapan ‘ya’, sebelum disarungkan cincin.-MY WD