KUALA LUMPUR, 8 APRIL – REMAN…. Seorang artis lelaki yang ditahan selepas dipercayai menumbuk seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan, akan di reman pagi ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata

artis itu yang juga pernah menganggotai sebuah kumpulan pelawak akan ditempatkan di lokap Balai Polis Mantin malam ini untuk direman.

“Saya sahkan artis berkenaan sudah ditangkap dan akan direman esok,” katanya.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, artis berusia 49 tahun berasal dari Kedah yang memandu kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam, dilaporkan memasuki pagar pengawal keselamatan kawasan kediaman berkenaan tanpa kebenaran.

Mohd Nor Marzukee dilaporkan berkata susulan itu pengawal keselamatan kemudian bertindak menutup palang laluan keluar pos keselamatan dan mengejar kenderaan yang dipandu artis lelaki berkenaan.

“Selang beberapa minit selepas itu, kereta artis berkenaan melalui semula pos pengawal keselamatan untuk keluar dari kawasan perumahan berkenaan, namun terhenti akibat laluan keluar ditutup dengan palang.

“Berkemungkinan kerana berang kenderaannya dihalang, artis lelaki itu keluar dari kereta sebelum menuju ke arah pengawal keselamatan dan berlaku pertengkaran,” katanya. – WD MY