KUALA LUMPUR, 26 Mei – Memudahkan Pengguna….. Laman eHalal.com, portal direktori dagangan
komprehensif yang disokong tanda kepercayaan halal di seluruh dunia, dijangka
menjana dagangan halal bernilai RM300 juta pada operasi tahun pertamanya.

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata, portal itu adalah inisiatif Perbadanan Pembangunan Industri Halal
(HDC).

Ia adalah yang pertama di dunia menggabung beberapa platform e-dagang, iaitu
perniagaan ke perniagaan (B2B), perniagaan ke pengguna (B2C), pengguna ke
pengguna (C2C) dan platform kumpulan data untuk tujuan mempromosi perdagangan
produk dan perkhidmatan halal.

HDC dalam usaha meningkatkan e-dagang halal telah mengumpulkan 10 platform
e-dagang halal di bawah satu bumbung, antaranya dindin.com dari China,
11 Street dari Korea Selatan, Zilzar.com, JOCOM, Tiara TV dan Global Halal Data
Pool.

“Pusat beli-belah e-Halal yang boleh didapati di Malaysia, China, Korea
Selatan, Indonesia dan Singapura ini akan turut membantu menjadikan negara kita
sebagai hab halal e-dagang,” katanya kepada media sebentar tadi.

Mustapa berkata, banyak negara melihat halal sebagai kuasa pasaran yang
sedang muncul dan mempunyai nilai tinggi serta berupaya menyumbang kepada
ekonomi mereka.

Menurutnya, industri e-dagang adalah penting kepada masa depan ekonomi
Malaysia dan kerajaan komited untuk menetapkan sumbangan e-dagang kepada
keluaran dalam negara kasar pada 6.4 peratus (RM114 bilion) menjelang 2020.

Platform itu, kata Mustapa, boleh memberi manfaat kepada pembekal kerana
mereka boleh menjangkau seluruh dunia, mengurangkan kos transaksi di samping
menyelesaikan isu kesahihan jenama. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY