KUALA LUMPUR, NOVEMBER 12: LANGAU…Langau itu istilah yang dilabelkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk penyokong partinya yang kini meninggalkan pertubuhan berkenaan.

Menggunakan kiasan Mohamad berkata ‘langau-langau’ terbabit meninggalkan Umno selepas tiada lagi apa-apa yang boleh memberi keuntungan kepada mereka.

“Langau-langau dah terbang dah. Tidak ada benda yang nak dihisap lagi, mereka pun terbang.

“Biarlah langau ini terbang dan biarlah kita di sini menjadi garam,” katanya seperti dipetik portal umno-online semalam.

Mohamad dipetik berkata demikian semasa berucap di majlis perjumpaan pimpinan pusat dan negeri di Melaka. Turut hadir Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Mohamad anggota Umno yang kekal dengan parti itu diibaratkan sebagai garam – merujuk kepada faedah yang boleh dimanfaatkan daripadabahan berkenaan, berbanding langau yang membawa penyakit.

Mengakui parti terbabit dikalahkan pada PRU ke-14 lalu bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata apa yang boleh dilakukan mereka ialah merawat “luka” dan “sakit” yang ada.

“Kita ubatkan dan rawatkan penyakit kita, luka kita… kita rawat supaya (bersiap sedia kerana) yang penting tidak lama lagi pilihan raya,” katanya.

Umno kecundang daripada kuasa buat kali pertama pada 9 Mei lalu dan terpaksa menelan hakikat yang pahit untuk menjadi pembangkang.

Selepas dilucutkan daripada kuasa seorang demi seorang pemimpin Umno bertindak meninggalkan parti itu, termasuk di kalangan anggota parlimen atau dewan undangan negeri.

Sesetengah mereka kekal menjadi wakil rakyat bebas, manakala sebahagian lagi menyertai parti lain yang ada dalam PH. Antaranya termasuklah anggota parlimen Jeli yang popular di kalangan Umno sebelum ini, Mustapa Mohamed.

Sebahagian daripada mereka memilih haluan baru selepas Umno bertambah intim bekerjasama dengan PAS.

Mohamad berkata “garam” yang tinggal dalam Umno sekarang akan menjadi pengubat parti yang kalah pada PRU lalu.

Pada masa sama Mohamad meminta anggota Umno yang setia memerhatikan PH mentadbir negara.

Jika gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan, beliau menyarankan anggota Umno “mengganyang” PH.

“Kalau lambat buat kerja kita masuk (tularkan) dalam media sosial dan sebagainya.

“Kita ganyang mereka pulak. Mereka dulu bukan buat kerja pun, mereka hanya mencari salah kita. Hari ini kita cari salah (mereka) pula,” katanya.-MY WD