KUALA LUMPUR, 13 MAC – LANGKAH….. Kerajaan sepatutnya sudah lama mengambil langkah menutup laluan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) kepada semua kenderaan persendirian.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman, berkata pihaknya amat bersetuju jika laluan Jalan TAR ditutup kepada semua kenderaan demi keselamatan dan memudahkan orang ramai membeli belah di kawasan terbabit.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia berkata, langkah berkenaan juga selari dengan usaha menjadikan Jalan TAR sebagai ikon dan daya tarikan pelancong ke ibu negara pada masa depan.

Katanya, ini kerana hingga kini Malaysia belum mempunyai lokasi beli belah yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan persendirian seperti di negara lain yang sudah lama berbuat demikian.

“Saya juga yakin penutupan laluan Jalan TAR kepada kenderaan persendirian tidak akan menjejaskan pendapatan peniaga kecil dan penjaja kerana orang ramai masih menggunakan pelbagai sistem pengangkutan awam termasuk teksi, LRT dan bas untuk ke situ.

“Bagi yang mahu membeli belah secara borong dan tetap mahu menggunakan kereta persendirian pula mereka boleh meletakkan kenderaan masing-masing di lokasi tidak jauh dari Jalan TAR,” katanya dipetik dari laporan berita tempatan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad bahawa Jalan TAR akan ditutup kepada semua kenderaan persendirian pada hujung minggu dan cuti umum, bagi tempoh percubaan selama sebulan bermula 1 April ini.

Khalid dipetik sebagai berkata jalan itu akan ditutup dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Ketika jalan ini ditutup, hanya bas, teksi, kenderaan bomba, ambulans, polis dan kenderaan penguatkuasaan sahaja yang akan dibenarkan melalui jalan itu.

Berikutan itu Rosli berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menyediakan lebih banyak kios dan gerai baharu bagi membuka peluang kepada lebih ramai peniaga kecil dan penjaja berniaga di Jalan TAR, pada masa depan. – WD MY