LANGKAWI FEB 18 – LANGKAWI…Perdana Menteri berkata, Langkawi akan terus dibangunkan sebagai pulau pelancongan bebas cukai.

Perdana Menteri berkata, tiada usaha untuk memansuhkan status bebas cukai di Langkawi malah Kerajaan Persekutuan komited untuk membangunkan ke tahap lebih tinggi berbanding yang ada sekarang.

“Saya beri jaminan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai akan terus dikekalkan kerajaan.

“Pulau Langkawi akan terus kita majukan ke tahap yang lebih tinggi. Kita tak mahu pulau ini kekal pada takuk yang sedia ada sebaliknya akan melipatgandakan usaha melonjakkan pembangunan dan infrastruktur di Langkawi,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Go 4.0 Langkawi di Kuah, Langkawi.

Beliau berkata, terdapat segelintir pihaknya yang mendakwa kerajaan akan memansuhkan Langkawi sebagai negeri bebas cukai adalah tidak benar.

Menurut beliau, apa yang dilakukan sebelum ini adalah untuk menghalang ketirisan barangan bebas cukai dan masalah itu telahpun dapat diatasi.

“Jadi kalau ada orang yang bawa cerita kononnya statusnya nak ditarik balik itu adalah satu lagi pembohongan yang saya nafikan dengan sekeras-kerasnya. Apa yang saya pastikan tempoh hari adalah untuk mengelakkan ketirisan dari segi penjualan rokok dan barang-barang bebas cukai,” katanya – MY WD