PUTRAJAYA, 11 April – Lanjut….. Reman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan tiga lagi individu termasuk anaknya yang disiasat berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja pengindahan Sungai Melaka, disambung dua hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung tempoh reman keempat-empat suspek sehingga Khamis ini.

Selain itu, dua suspek lain yang juga pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditahan bersama sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Keenam-enam suspek itu termasuk Tan Sri dan anaknya direman enam hari sejak 6 April lalu untuk membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM13 juta berhubung pembekalan alat geotube bagi kerja-kerja pengindahan Sungai Melaka sejak 2012.

Empat suspek lain membabitkan tiga pegawai dan seorang bekas Pengarah Bahagian Projek Khas JPS. – WD MY