IPOH, 13 Okt – Cedera Rempuh Treler…..Lapan individu termasuk tujuh wanita cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 301 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Gopeng, dekat sini, awal pagi tadi.

Semua mangsa wanita dipercayai warga Indonesia manakala lelaki terbabit adalah warga tempatan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Ibrahim Ariffin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.35 pagi dan tiba ke lokasi lima minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebuah Toyota Alphard melanggar belakang sebuah treler mengakibatkan seorang lelaki dan wanita di dalamnya tersepit, manakala selebihnya berjaya diselamatkan awal oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.

“Pasukan penyelamat melakukan operasi menyelamat dengan menggunakan dua peralatan pemotong hidraulik elektrik untuk mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya.

Ibrahim berkata, semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan susulan.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan lapan mangsa terbabit sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Pulau Pinang.

Katanya, 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng serta Tapah dikerahkan ke lokasi kejadian. – WD MY

LEAVE A REPLY