KUALA LUMPUR,OGOS 23:LAPOR…Kerajaan disyorkan membuat laporan polis berhubung dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa Barisan Nasional (BN) tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata tuduhan pecah amanah harus ditujukan kepada seseorang, tidak boleh dibuat secara umum.

“Saya cadangkan buat laporan polis supaya boleh disiasat jika benar ada berlakunya pecah amanah seperti yang didakwa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurut Johari, yang juga Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya.

Sebaliknya, ia adalah di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Saya tidak boleh komen tanpa ada fakta dan maklumat terperinci, namun perkara itu boleh dirujuk kepada Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan juga Pengerusi LHDN,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada isu cukai tidak dibayar itu pernah dibangkitkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Johari berkata ia tidak pernah ditimbulkan.

“Setakat ini belum ada, mungkin mereka (PH) tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya sebelum ini,” katanya.

Pendedahan Guan Eng itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai khususnya di laman sosial.

Pengguna Facebook (FB) yang dikenali sebagai Speed Solo berkata, pendedahan itu bagus supaya rakyat tahu penipuan kerajaan sebelum ini.

Selain itu, seorang lagi pengguna FB, Smart Gadget pula berpendapat hutang dan salah laku memang perlu didedahkan supaya rakyat tahu.

Bagi Azran Zawawi, jika benar dakwaan berkenaan, kerajaan perlu segera mendakwa pihak berkenaan dan jangan hanya membuat spekulasi.

Guan Eng dalam kenyataannya hari ini mendedahkan sehingga 31 Mei lalu, baki kredit belum dibayar balik oleh LHDN, yang tertunggak lebih enam tahun itu berjumlah RM16.046 bilion membabitkan 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Beliau menyifatkannya sebagai ‘pecah amanah’ kerana kerajaan lama menggunakan wang milikan pembayar cukai tanpa persetujuan mereka dengan sesuka hati untuk menutup defisit perbelanjaan dan membiaya perbelanjaan kerajaan.-MY WD