KUALA LUMPUR, 4 Mac – Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini, diklasifikasi sebagai dokumen rahsia mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menurut Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, berkata ketetapan itu dibuat oleh Ketua Audit Negara. “PAC akur dan memahami keperluan tindakan diambil Jabatan Audit Negara yang mengklasifikasikan laporan itu sebagai dokumen rahsia rasmi.

“Keputusan itu diambil berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Pengauditan 1MDB yang dibentang kepada PAC pada Julai lalu, dibocorkan pihak tidak bertanggungjawab secara berpilih hingga menjejaskan Jabatan Audit Negara dan jawatankuasa ini.

“Sebagai jawatankuasa ditubuhkan di bawah Parlimen, adalah menjadi keperluan mewujudkan pematuhan, akauntabiliti dan menghormati undang-undang yang turut digubal institusi sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasan berkata, pihaknya akan meneliti laporan akhir itu bersama 10 prosiding terdahulu bagi melengkapkan laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB sebelum membentangkannya di Parlimen pada bulan ini dan bulan depan.

Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sepatutnya dibentang pada 24 dan 25 Februari lalu, namun ditangguhkan kerana kebanyakan ahli PAC berada di luar negara serta memiliki komitmen lain. PAC memerlukan laporan akhir pengauditan terhadap syarikat pelaburan strategik kerajaan itu untuk melengkapkan laporan, sebelum dibentangkan di Parlimen. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY