PUTRAJAYA, 5 Dis – Kenaikkan… SIKAP pilih kasih dan tidak profesional Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam isu kenaikan pangkat menerima teguran daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) baru-baru ini.

Bagaimanapun, KSN sendiri mengetahui isu berkenaan susulan daripada aduan langsung oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai rakyat negeri Sabah dan Sarawak yang sudah lama tidak menerima kenaikan pangkat sejak pelantikan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim.

Sumber kerajaan negeri Sabah berkata, susulan daripada aduan itu pada hujung September, satu senarai kenaikan pangkat dikeluarkan pada 25 November lalu dan dalam senarai itu, seramai 85 pegawai dari Sabah dan Sarawak gred WK22 dinaikkan ke gred WK26.

“Bagaimanapun, hampir 85 peratus daripada senarai pegawai itu diarahkan untuk bertukar ke pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia. Ia bagaikan satu cara balas dendam ke atas mereka yang membuat aduan kepada Shafie. Kakitangan awam berstatus bumiputera pun menerima nasib sebegini bagaimana dengan mereka yang bukan Islam,” katanya.

Media turut dibekalkan dengan senarai pertukaran itu dan tertera di situ senarai nama 85 individu yang semuanya dari Sabah dan Sarawak tetapi kebanyakan dari mereka ditukarkan ke pelbagai lokasi di Semenanjung Malaysia seperti zon tengah, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak.
Menurut sumber, kenaikan itu hanya membabitkan gaji RM300 dan elaun wilayah RM1000 tetapi mereka akan menanggung perbelanjaan kos hidup yang lebih tinggi apabila bertugas di luar Sabah dan Sarawak.

“Kenaikan pangkat sepatutnya membantu kakitangan itu tetapi kali ini ia bertujuan membebankan mereka sahaja,” katanya.

Katanya, ini bukan kali pertama pengurusan JKDM membuat tindakan pilih kasih seperti ini tetapi sebelum ini, seorang pegawai yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Sarawak.
“Disebabkan pegawai itu mempunyai hubungan baik dengan KP, dia diarahkan untuk kekal di lokasi yang sama tetapi menerima kenaikan pangkat. Malangnya pegawai lain yang meminta pertukaran atas faktor keluarga atau kebajikan pula tidak dilayan dan ada yang menunggu untuk tempoh yang lama kerana tidak dikenali KP atau pengurusan tertinggi JKDM,” katanya.
Selain itu, pemakaian batik kebangsaan pada hari khamis seperti yang diwajibkan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 1 2008 (Pemakaian Batik Malaysia Oleh Pegawai Awam Pada Hari Khamis) turut dipersoalkan oleh ketua pengarah itu.

“Ada satu ketika seorang pegawai JKDM memakai pakaian batik pada hari Khamis berjumpa dengan Paddy untuk urusan pejabat. Dia ditegur dan diarahkan untuk menukar pakaiannya oleh Paddy yang nyata bertentangan dengan pekeliling kerajaan itu.

“Tidak cukup dengan itu, mana-mana pegawai bukan Islam yang mengenakan pakaian kebangsaan selain baju kurung atau baju Melayu turut ditegur oleh Paddy, hanya pakaian kebangsaan masyarakat Melayu dibenarkan untuk dipakai olehnya pada hari Jumaat dan ini juga bertentangan dengan konsep masyarakat majmuk di negara ini,” katanya. – WD MY