JAKARTA, 11 April – Anti Rasuah….. Agensi Antirasuah Indonesia (KPK) melarang Speaker Parlimen negara itu ke luar negara selama enam bulan, susulan kaitan satu kes rasuah membabitkan kad pengenalan baharu.

Kes itu adalah salah satu ujian terbesar dihadapi agensi terbabit yang memaklumkan sejumlah AS$170 juta (RM753 juta) dipercayai dicuri daripada belanjawan untuk pemerolehan kad pengenalan elektronik.

Agensi berkenaan berulang kali dikritik ramai ahli politik arus perdana, ketika ia berusaha membasmi rasuah dalam negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono, berkata seorang penyerang tidak dikenal pasti menyimbah asid ke arah seorang penyiasat agensi itu yang mengendalikan kes kad pengenalan terbabit, hari ini.

Novel Baswedan kini dirawat di hospital dan polis menyiasat sama ada serangan terbabit mempunyai kaitan dengan tugasnya.

Bagaimanapun, KPK enggan mengulas.

KPK sudah mendakwa dua suspek dalam kes itu dan memaklumkan sekurang-kurangnya 37 ahli politik memperoleh manfaat daripada kecurian dana belanjawan kad pengenalan terbabit, termasuk Speaker Setya Novanto. –  WD MY