KUALA LUMPUR, 17 Dis – Ubat Tipu……. Kementerian Kesihatan melarang penjualan dan penggunaan serta merta dua jenis ubat tradisional iaitu Creative Health Recources (CHR) Creative Herbs dan CHR Creative Nutrition.

Larangan itu dibuat selepas ujian oleh Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), mendapati produk itu dicampurpalsu dengan dexamethasone (sejenis kortikosteroid) dan chlorpheniramine (sejenis antihistamin) yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sampel produk itu diperoleh melalui laporan kesan advers yang diterima oleh Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, NPRA.

Beliau berkata, label pada kedua-dua produk itu menyatakan bahawa ia digunakan secara tradisional untuk kesihatan umum dan untuk menguatkan badan.

“Semakan lanjut mengesahkan bahawa kedua-dua produk terbabit adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan ia adalah produk yang perlu berdaftar,” katanya.

Beliau menjelaskan, NPRA juga menerima sebanyak dua laporan kesan advers membabitkan produk CHR Creative Herbs dan tiga laporan berkenaan CHR Creative Nutrition.

“Antara kesan advers dilaporkan adalah peningkatan berat badan, kembung perut, muka membulat dan kelemahan fungsi kelenjar adrenal yang boleh menyebabkan masalah lain seperti tekanan darah dan paras gula dalam darah yang tidak terkawal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang memiliki stok produk itu menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya kerana melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“(Sementara) denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk ini disarankan segera dapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.

Sementara pengguna yang sudah mengambil produk ini untuk jangkamasa lama dinasihat tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak kerana boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan. – WD MY

INFO :

*Dexamethasone – sejenis kortikosteroid, digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius. Penggunaannya secara berpanjangan boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing.

*Chlorpheniramine – sejenis antihistamin, diguna untuk melegakan selesema serta reaksi alahan seperti ruam. Kesan sampingan termasuk mengantuk, penglihatan kabur, muntah-muntah, sembelit dan kelemahan koordinasi anggota badan.