SERDANG, 24 Nov – LARIKAN….. Dua penjenayah melarikan tiga beg berisi wang tunai berjumlah hampir RM150,000 dari van syarikat kawalan keselamatan di luar sebuah bank di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 10.30 pagi, dua penjenayah yang memakai topi keledar melarikan beg duit berkenaan menggunakan motosikal jenis Yamaha 125z.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata pihaknya kini sedang memburu penjenayah berkenaan.

“Kita cuba kesan dua penjenayah berkenaan menerusi Ops Tutup. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga sedang diteliti.

“Kita juga sudah tahan empat pekerja syarikat keselamatan untuk disoal siasat mengenai kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – WD MY