ALOR SETAR, 2 Nov – Latihan Bersama…….. Malaysia dan Thailand mengadakan Latihan Keselamatan Nuklear kali kedua selama empat hari sejak Isnin.

Latihan itu membabitkan seramai 83 peserta dari Malaysia dan Thailand diadakan untuk memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi kedua-dua negara dalam tindak balas mereka terhadap insiden yang membabitkan radiologi atau bahan nuklear khas.

Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, Hamran Mohd Ali, berkata bagi latihan kali ini, pihaknya memberi tumpuan kepada bahan yang biasa diseludup atau dibawa melalui sempadan dengan tujuan menyalahi undang-undang.

Katanya, latihan bersama itu yang berakhir Jumaat ini diadakan dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan buat kali pertama, kedua-dua negara mengambil bahagian dalam latihan berdasarkan senario kecemasan di Sadao, Thailand esok.

“Kami akan menguji modul draf Siri Dokumen Panduan Teknikal Nuklear yang dibentuk oleh satu pasukan pakar IAEA.

“Buat kali pertama, draf bertajuk ‘Persediaan, kelakuan dan penilaian latihan untuk pengesanan maklum balas kepada tindakan membabitkan nuklear dan bahan radioaktif lain daripada kawalan regulatori’ akan diuji secara praktikal,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Hamran berkata, beliau percaya ujian itu akan menambah lagi input kepada draf, yang boleh digunakan untuk melindungi sempadan negara.

“Ancaman keganasan sudah berkembang malah dunia terdedah kepada ancaman jenis baharu dalam bentuk lebih radikal sama ada melalui kumpulan kecil atau bergerak sendirian.

“Kami berharap usaha ini akan mewujudkan kesedaran dalam kalangan peserta untuk bersedia dari segi mental mengesan ancaman keganasan nuklear merentas sempadan,” katanya. – WD MY