KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Tidak Panik…. Orang ramai diminta tidak panik sekiranya melihat banyak pesawat membuat penerbangan rendah kerana pasukan udara daripada enam agensi keselamatan negara melakukan latihan lintas hormat dan pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-59, minggu depan.

Latihan dijayakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Udara Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM), Pasukan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Latihan lintas hormat dan pertunjukan udara itu akan diadakan setiap hari bermula siang tadi sehingga tarikh sambutan Hari Kebangsaan iaitu 31 Ogos depan.

Markas Tentera Udara, menerusi satu kenyataan, memberitahu aktiviti penerbangan ini akan membabitkan kawasan ruang udara sekitar Kuala Lumpur dan Subang yang sudah digazet sebagai lokasi penerbangan lintas hormat serta pertunjukan udara itu.

“Sepanjang tempoh latihan dijalankan, pesawat-pesawat milik TUDM dan agensi-agensi terbabit akan melaksanakan penerbangan rendah pada waktu siang di kawasan sekitar lokasi ruang udara yang dinyatakan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat banyak pesawat terbang rendah di sepanjang tempoh itu kerana ia hanyalah sesi latihan yang dijalankan sebagai persiapan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke 59,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY