COLOMBO, 21 Julai – Cadangan Dipertimbangkan…. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan akan mempertimbangkan permohonan Sime Darby Bhd (Sime Darby) untuk membawa masuk tenaga kerja dari Sri Lanka bagi sektor perladangan di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, Sime Darby memerlukan kira-kira 5,000 pekerja dan permohonan itu diajukan syarikat berkenaan menerusi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, di sini, baru-baru ini.

Katanya, kerajaan akan membuat beberapa penelitian termasuk aspek peraturan serta perundangan selain turut membincangkannya di peringkat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pekerja Asing.

“Kerajaan Sri Lanka memberi jaminan bahawa mereka mempunyai kemampuan untuk membekalkan tenaga kerja dari negara ini untuk sektor perladangan.

“Bagaimanapun, kita di peringkat kerajaan akan membuat penelitian terhadap permohonan Sime Darby termasuk dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Zahid tiba di Sri Lanka malam tadi sempena lawatan kerja selama dua hari.

Beliau juga mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga Kerja Luar Sri Lanka, Thalatha Atukorale di sini.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini kira-kira 6,500 rakyat Sri Lanka bekerja di Malaysia, antaranya membabitkan sektor perkilangan, pembantu rumah dan perkhidmatan.

“Dalam pertemuan itu, beliau (Atukorale) turut memaklumkan bahawa Sri Lanka bersedia membekalkan pekerja separa mahir dan mahir khususnya bagi sektor pengeluaran di Malaysia.

“Kita di peringkat kerajaan juga akan mempertimbangkan perkara itu,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY