MAKKAH, 5 Sept – PENUMPANG….. Lebih 1.5 juta jemaah menggunakan perkhidmatan tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro – Southern Line (MMMSL) sepanjang tujuh hari beroperasi yang berakhir semalam.

Ia memperlihatkan peningkatan 400,000 penumpang sepanjang tujuh hari ia beroperasi, bermula 29 Ogos hingga 4 September, berbanding keseluruhannya 1.1 juta penumpang pada musim haji tahun lalu.

Perangkaan itu melepasi sasaran Lembaga Pembangunan Wilayah Makkah (MRDA) selaku pemilik tren haji berkenaan, selain Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Arab Saudi (PTA).

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham, berkata kejayaan itu sebagai ‘batu loncatan’ untuk syarikat itu memperkukuhkan operasi luar negaranya, khususnya di Arab Saudi.

“Pengoperasian MMMSL bagi musim haji kali ini membuktikan keupayaan sebenar ‘Anak Malaysia’ mengendalikan sistem tren paling mencabar, paling padat dan berkepadatan tinggi di dunia.

“Seramai 1.5 juta jemaah haji menggunakan kemudahan ini sepanjang tujuh hari beroperasi mengikut ketetapan jadual perjalanan tanpa berlaku sebarang kelewatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan ‘flag off’ tren terakhir MMMSL di Stesen Mina 3 (Jamarat), di sini semalam sebagai simbolik tamatnya operasi tren berkenaan bagi musim haji tahun ini.

Kejayaan pengendalian tren haji berkenaan turut meletakkan Prasarana antara syarikat pengendali sistem tren paling cekap di dunia, terutama dalam kalangan negara maju.

Masnizam berkata, kadar pengoperasian tren juga mencecah 112 peratus kali ini berbanding 110 peratus pada musim haji lalu, sekali gus memperlihatkan kesemua 16 tren digunakan, termasuk sebuah diletakkan dalam mod siap sedia.

“Kerajaan Arab Saudi sangat menghargai dedikasi Malaysia, khususnya Prasarana yang memiliki kepakaran dan pengalaman mengendalikan pengangkutan awam, membantu memudahkan sistem logistik jemaah haji di Tanah Suci.

“Ini sekali gus membantu mengelak kesesakan jalan raya di Arafah, Muzdalifah dan Mina, selain memastikan ‘Tetamu Allah’ dapat beribadah dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Bersandarkan pada prestasi itu, Masnizam berkata, Prasarana mengambil pendirian positif terhadap sebarang peluang atau projek kerjasama dengan Arab Saudi selepas ini.

Beliau menjelaskan syarikat berkenaan masih mempunyai baki kontrak tiga tahun pengendalian MMMSL hingga 31 Mei 2018, dengan penumpuan diberikan kepada aspek penyelenggaraan tren berkenaan.

Hadir sama Pengarah Urusan MMMSL, Ahmad Jamaluddin Salleh dan Ketua Seksyen Pentadbiran MMMSL, Nor Aziz Mohd Nor. – WD MY

# INFO

  • – 1.5 juta penumpang menggunakan MMMSL
  • – 7 hari beroperasi sempena musim haji
  • – 15 tren beroperasi ke paras optimum
  • – 1 tren dalam mod bersiap sedia
  • – 12 gerabak penumpang setiap tren
  • – 25 meter panjang setiap gerabak