KUALA LUMPUR, 21 Nov – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Mohd Ali Rustam supaya mengadakan satu himpunan para pesilat seluruh negara di Stadium Bukit Jalil pada tahun hadapan.

Menurut Ahmad Zahid, beliau berharap Ali Rustam selaku presiden dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 200 ribu orang pesilat ke himpunan berkenaan.

“Saya meletakkan harapan, agar seramai 200 ribu orang pesilat seluruh negara, dapat dihimpunkan dalam satu acara penuh adat dan seni dalam silat negara di Stadium Bukit Jalil pada tahun hadapan,” kata Ahmad Zahid dalam ucapannya dihadapan Guru-Guru Silat Pesaka Malaysia.

Majlis pertemuan Guru-Guru Silat Pesaka Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini turut dihadiri Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga akan menyumbangkan RM 1 Juta untuk Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia agar acara berkenaan dapat dilaksanakan.

“Saya bagi tempoh 6 bulan dari sekarang kepada Tan Sri Ali Rustam agar menyusun dan memastikan sekurang-kurangnya 200 ribu para pesilat dapat hadir bersama-sama ke Bukit Jalil.

Ahmad Zahid juga berkata Pesaka akan memainkan peranan penting dalam menyediakan satu platform yang sama untuk semua orang Melayu untuk mengetepikan perbezaan mereka dan datang bersama-sama sebagai satu bangsa yang bersatu padu. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY