KUALA LUMPUR, DISEMBER 1: ICERD… Lebih 500,000 pemimpin dan ahli UMNO termasuk dari cawangan Ketereh dijangka hadir di perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, walaupun terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan beberapa pihak, perhimpunan aman itu tetap akan diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu depan.

“Biarlah mereka (termasuk mufti-mufti negeri) memberi pendapat yang bercanggah, kami tetap macam biasa.

“Perhimpunan ini bukan soal hukum halal atau haram. Ia adalah himpunan aman untuk meluahkan bantahan tentang cadangan ratifikasi ICERD,” katanya.

Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas berkata, beliau menjangkakan jumlah kehadiran termasuk ahli dari DUN Kok Lanas dan beberapa DUN lagi di Kelantan.

Isu perhimpunan membantah ICERD mendapat bantahan beberapa pihak termasuk mufti-mufti negeri sejak kebelakangan ini.

Antara yang membantah perhimpunan itu termasuk Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Walau bagaimanapun, PAS dan UMNO akan meneruskan perhimpunan itu pada 8 Disember nanti.-MY WD