KUALA LUMPUR, 31 Julai – Lebih 750 pengamal media tempatan
dan antarabangsa mewakili kira-kira 100 organisasi media dijangka membuat
liputan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan Pasca Persidangan Menteri Luar
ASEAN(AMM/PMC) Ke-48 dijadual 1-6 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut Zaria Mohd Nasri, pegawai sekretariat media bagi acara itu, angka
itu termasuk 438 wakil media asing daripada 80 organisasi.

“Selain agensi berita Malaysia, Bernama, agensi media terkemuka lain yang
membuat liputan mesyuarat-mesyuarat ASEAN termasuk Associated Press, Reuters,
Agence France Press, Xinhua News Agency serta dari negara-negara anggota ASEAN,”
katanya.

Zaria berkata pusat media berkeluasan 4,592 meter persegi yang dilengkapi
kemudahan WiFi di Dewan Tun Razak 3, PWTC mempunyai kapasiti 350 orang pada
satu-satu masa.

“Kami turut menyediakan 23 ruang khusus bagi organisasi media yang telah
membuat permohonan,” katanya dan menurutnya taklimat mengenai logistik media
telah diadakan bagi mendapatkan maklum balas tentang kemudahan yang diperlukan
di pusat itu.

Zaria berkata kawalan keselamatan adalah ketat di pusat media dan
mengingatkan wakil media untuk memakai pas pada setiap masa.

Katanya untuk memudahkan wakil media, mereka sekurang-kurangnya dibenarkan
membuat liputan ucapan perasmian pada semua mesyuarat itu.

Sekretariat media juga akan menempatkan petugasnya untuk mengendalikan
kaunter bantuan, permohonan untuk temuramah, dokumentasi serta akreditasi di
puast media untuk memastikan aliran kerja pengamal media berjalan lancar.
-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY