KUCHING, 30 Sept – Polis Sarawak berharap dapat mewujudkan lebih
banyak ibu pejabat polis daerah (IPD) serta balai polis di negeri itu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung cadangan
tersebut selaras dengan pembangunan pesat negeri itu selain sebagai tindakan
jangka panjang Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya dalam lawatan perpisahan di
IPD Padawan di Siburan, hari ini

“Saya telah meninjau beberapa kawasan bersesuaian dengan pejabat Jabatan
Tanah dan Ukur di bandar terlibat.

“Sebaik menerima tanah di tapak yang dicadangkan, kami akan mengemukakan
permohonan menjadikannya IPD atau balai polis kepada Bukit Aman untuk
pertimbangan serta peruntukan,” katanya.

Chai berkata antara bandar yang memerlukan IPD baharu adalah Matu-Daro dan
Dalat di Bahagian Mukah dan bandar Serian.

“Bagi balai polis baharu, kawasan yang memerlukannya adalah Oya dan Belawai
di Bahagian Mukah, Senadin dan Taman Tunku di Miri serta MatangJaya di
Kuching,” katanya.

Chai berkata, setakat ini kerajaan negeri menyambut baik permohonan
mendapatkan tapak tersebut.

Katanya, ketika ini terdapat 28 IPD serta 81 balai polis di seluruh negeri
itu.

Chai juga berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen akan mempertimbangkan untuk
meletakkan anggotanya serta mewujudkan infrastruktur yang diperlukan di Empangan
Bakun dan Empangan Hidro Murum di Bahagian Kapit pada masa hadapan.

“Ketika ini, kami bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad yang
mengendalikan kedua-dua empangan itu untuk mengadakan polis bantuan bagi
mengawal keselamatan di kawasan tersebut.- Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY