PUTRAJAYA 15 Dis. – TAHAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata dua lagi kakitangan Jabatan Imigresen dan tiga orang anggota sindiket termasuk dua warga asing ditahan semalam bagi membantu siasatan kes penyeludupan warga Bangladesh melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ahmad Zahid berkata secara keseluruhan, seramai tujuh orang telah ditahan dalam siasatan kes berkenaan termasuk dua kakitangan Jabatan Imigresen yang ditahan kelmarin.

Beliau memberitahu, penahanan itu dilakukan Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita juga sudah mengambil tindakan untuk memindahkan kira-kira 40 peratus daripada (kira-kira 1,500 orang) kakitangan Jabatan Imigresen di KLIA dengan kakitangan dari lain-lain pejabat.

“Kita harus mengambil tindakan dengan segera bagi membersihkan imej Jabatan Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. – WD MY