IPOH, 12 Julai – Amuk… Lelaki berusia 36 tahun mengamuk dengan menggunakan dua bilah parang di rumahnya di Jalan Leong Boon Swee di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias, berkata ketika kejadian itu jam 5 petang, ibu suspek berusia 56 tahun turut berada di rumah itu.

“Bimbang dengan keselamatan diri, ibu suspek membuat laporan di Balai Polis Daerah Ipoh sebelum anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Balai Polis Pasir Putih di sini hari ini.

Abdul Rani berkata, sebaik anggota polis tiba di rumah itu, suspek didapati memegang parang sepanjang 70 sentimeter (cm) dan 72 cm di kedua-dua tangannya.

“Anggota polis cuba memujuk suspek untuk meletakkan senjata dipegangnya namun lelaki itu lari menuju ke Sungai Pari sambil diekori polis.

“Polis mengambil masa kira-kira satu jam setengah memujuk dan berlaku sedikit pergelutan ketika cuba menahannya,” katanya.

Abdul Rani berkata polis menahan suspek pada jam 7 malam sebelum dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan satu kes jenayah dan dua kes dadah.

“Suspek pernah dua kali ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan dekat sini kerana masalah mental.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – WD MY