SEREMBAN, 10 Dis – KEHILANGAN…. Seorang lelaki berusia 65 tahun yang dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu, ditemui di Jalan Bukit Tembok berhampiran Taman AST, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata mayat warga emas dalam keadaan reput itu ditemui di kawasan semak oleh penduduk tempatan pada jam 4.30 petang.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemui barangan milik lelaki itu termasuk payung, telefon bimbit serta dompet. Sehingga sekarang, kita tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini.

“Siasatan lanjut mendapati dia dilaporkan hilang pada 6 November lalu dan anak sulungnya yang dipanggil untuk membuat pengecaman mengesahkan identitinya,” katanya, hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, warga emas itu mempunyai penyakit darah tinggi namun punca kematian akan disahkan selepas bedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar, hari ini.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – WD MY