MIRI, 10 Jan – BUNUH….. Pelajar perempuan Tingkatan Satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau mati dibunuh dipercayai dicekik oleh teman lelaki ibu mangsa di sebuah rumah sewa mereka di Permyjaya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, mangsa berusia 13 tahun dan suspek seorang lelaki rakyat tempatan berusia 33 tahun.

“Suspek berasal dari Kuala Lumpur, bekerja di sebuah kedai perabot di Piasau, Miri dan telah berjaya ditangkap pada petang ini juga,” katanya dalam satu kenyataan.

Dev berkata, tangkapan dilakukan oleh kru sebuah kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri yang sedang menjalankan rondaan di Jalan Perlis, Kuala Baram pukul 5.55 petang.

“Semasa rondaan dilakukan, kru anggota polis peronda terserempak dengan sebuah kereta Proton Iswara yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di sebuah lorong berdekatan semak,” katanya

— LAGI

POLIS-BUNUH 2 (AKHIR) MIRI

Menurutnya, suspek berdiri di bahagian belakang kereta dengan but terbuka dan apabila suspek ternampak kereta peronda terus menutup but kereta, masuk ke dalam kereta dan memecut dari tempat itu dengan laju.

Beliau berkata, berlaku drama mengejar sejauh 5 km sehingga kereta Proton Iswara itu berhenti di simpang Pelabuhan Miri dan kru anggota polis peronda terus mengarahkan suspek untuk keluar dari kereta dan membuka but kereta.

“Apabila but dibuka terdapat mayat seorang perempuan dan suspek terus ditangkap,” katanya sambil menambah siasatan awal mendapati suspek adalah teman lelaki kepada ibu mangsa dan tinggal bersama ibu mangsa, kakak mangsa dan mangsa di sebuah rumah sewa di Permyjaya, Miri.

Beliau berkata, ibu mangsa telah keluar bekerja dan kakak mangsa telah pergi ke sekolah meninggalkan suspek dan mangsa sahaja di rumah.

“Pada jam 11.00 pagi, telah berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa di mana suspek dipercayai telah mencekik mangsa sehingga mati dan suspek kemudian membawa mangsa dalam but kereta ke kawasan Kuala Baram untuk membuang mayat dalam kawasan semak apabila terserempak dengan kereta peronda,” katanya. – WD MY