KUALA LUMPUR, 20 Dis – CABUL…… ┬áLelaki warga India ditahan susulan kes cabul terhadap seorang wanita di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini, Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 20 tahun dalam perjalanan ke Gombak diraba lelaki itu ketika menaiki tangga bergerak di stesen LRT berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa sempat mengambil gambar suspek menggunakan telefon bimbitnya sebelum membuat satu laporan di Balai Polis Gombak pada jam 10.20 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata susulan laporan itu, polis Selangor menahan suspek yang berusia 28 tahun dan turut dipercayai terbabit dengan dua lagi kes cabul yang berlaku di Petaling Jaya dan Seapark pada hari sama.

“Kita akan siasat sama ada suspek turut terbabit dengan satu lagi kes cabul yang berlaku di Kuala Lumpur pada hari sama membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun yang berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Stesen LRT Pasar Seni ke LRT Masjid Jamek.

“Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa mendakwa suspek yang mencabulnya adalah seorang lelaki berkulit gelap,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu pihak polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen LRT berkenaan.

“Bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, kita bekerjasama dengan pihak keselamatan LRT untuk membuat rondaan lebih kerap.

“Selain itu, kita minta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber tepat daripada pihak polis,” tambah Mazlan.

Kedua-dua kes cabul terbabit disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – WD MY