SEREMBAN, 2 Mei – Cuba Bunuh Diri…….Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Seremban 2 berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang terjun ke sungai di Kampung Stesen, Kuala Sawah dekat sini, selepas dipercayai mengalami histeria, pagi tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 7 pagi, lelaki berusia 30-an terbabit yang tinggal bersama rakannya, tiba-tiba meracau dan berlari keluar rumah, lalu terjun ke sungai itu.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Badroltamam Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa pada jam 7.03 pagi dan sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, mangsa sudah terjun ke sungai itu, tetapi mujur airnya cetek. Anggota bomba kemudian cuba menenangkan mangsa.

“Apabila tidak berjaya, kami terpaksa bergelut dengannya dan berjaya mengikat badannya,” katanya di sini, hari ini.

Badroltamam berkata, mangsa dibawa naik ke tebing sungai itu dan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) bagi rawatan lanjut. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY